Menjelang Sesi Parlimen Penggal Ke-13
Editor iKDN | 8 Mac 10 2:37am
Saban tahun soalan yang diajukan di Parlimen untuk KDN tidak pernah berkurang. Menjelang sidang Parlimen yang akan dibuka tidak lama lagi KDN telah bersedia untuk menjawab 207 pertanyaan dari Dewan Rakyat.
Tuan Jelaing Anak Mersat, Timbalan Menteri Dalam Negeri telah hadir bersama warga KDN yang berkampung di Negeri Sembilan selama 3 hari bermula 6 Mac lalu menyemak dan menyelidik soalan-soalan yang wajib dijawab itu.
"Kita tahu dan maklum KDN tidak pernah berkurang menerima soalan-soalan dari Dewan Rakyat. Adalah tanggungjawab kita bagi memastikan jawapan yang disediakan telus dan tepat. Suka saya ingatkan, setiap jawapan yang disediakan adalah penting kerana ia mampu memberi impak kepada perspektif rakyat samada kita patuh pada gagasan 1 Malaysia yang mendahulukan rakyat," katanya.
Sesi Parlimen akan dibuka pada 15 Mac ini dan seperti biasa demi memberikan jawapan terbaik kepada rakyat, menjawab soalan-soalan dari wakil-wakil rakyat yang dipilih adalah salah satu khidmat kepada rakyat.
"Saya harap kita semua dapat menyediakan jawapan kepada soalan parlimen itu dengan meletakkan diri anda sebagai rakyat," katanya.
--team berita ikdn.
|