Hidupkan SRS
Editor iKDN | 4 Mac 10 6:18pm
Sehari selepas program turun padang Menteri Dalam Negeri Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein bertemu rakyat di Kota Damansara pada 2 Mac yang lalu, program turun padang Kementerian Dalam Negeri ke kawasan hotspot diteruskan lagi. Kali ini melaksanakan amanah ini ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri Tuan Jelaing Anak Mersat yang mengunjungi IPD Ampang Jaya. Beliau menyertai Majlis Dialog Program Pemantapan Tugas Menangani Jenayah bersama pegawai-pegawai PDRM di situ.
"Saya mahu Malaysia diiktiraf sebagai negara yang sesuai untuk didiami. Maka usaha PDRM untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan harus disokong oleh rakyat jelata. Itu amat penting dan hubungan antara polis dan masyarakat setempat khususnya di kawasan ini telah berhasil. Telah terbukti juga usaha pengwujudan NKRA telah berjaya menurunkan kadar jenayah," katanya.
Menurut Tuan Jelaing lagi kawasan perbandaran Ampang Jaya telah mencatatkan penurunan indeks jenayah sebanyak 1.16 peratus berbanding tahun sebelumnya. Di sini juga terdapat seramai 200 - 250 orang ahli aktif SRS (Skim Rondaan Sukarela).
"Menarik sekali kerana penduduk taman perumahan kawasan sekitar mengambil inisiatif sendiri untuk menubuhkan SRS. Nisbah anggota polis dan penduduk di kawasan Ampang Jaya ialah 1:3000. Nisbah yang sepatutnya ialah 1:250. Oleh itu, penyertaan masyarakat setempat dalam menangani jenayah amat dihargai," katanya.
Beliau menyifatkan SRS wajar menjadi ikutan komuniti setempat yang lain kerana keselamatan bukan tugas polis semata-mata.
--team berita ikdn
|