Media Berpada-padalah - TKSU K
Editor iKDN | 28 Februari 10 3:42am
Keterbukaan Kerajaan kepada media jelas dan Kerajaan telah melaksanakan tanggungjawabnya. Namun media disaran berpada-pada dalam melaksanakan kebebasan penulisan kelak tidak mempertaruhkan kesejahteraan rakyat.
Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Datuk Ahmad Fuad Abd. Aziz berkata demikian di Diskusi Media-KDN yang diadakan 25 Februari lalu. Diskusi Media-KDN Bil.02/2010 ini telah diadakan di ibu pejabat RELA, Presint 2, Putrajaya.
"Media disaran untuk membuat tapisan sendiri. Dalam konteks Kementerian Dalam Negeri yang menjaga keamanan dan ketenteraman, tapisan sendiri ini amat penting. Malaysia sebuah negara berbilang kaum, keterbukaan ini harus dilihat semula agar penulisan media tidak membawa Malaysia kepada sesuatu yang buruk," katanya.

TKSU K - Datuk Ahmad Fuad Abd. Aziz
Menurut beliau lagi, isu agama dan kaum adalah antara isu paling sensitif di negara ini. Paparan isu-isu sensitif dengan tajuk sensasi memang dapat menarik minat pembaca dan menaikkan jualan. Namun pada masa yang sama ia memperjudikan keamanan negara dan ketenteraman rakyat.
"Media harus berpada-pada. Jangan terlalu taksub dengan kebebasan. Jangan memanipulasi. Kami di KDN melihatnya sebagai amat berbahaya sekali kebebasan mutlak ini. Di antara kebebasan media dan keamanan-ketenteraman awam, yang manakah pada akhirnya tuan-tuan semua melihat paling utama diberikan perhatian? Saranan saya berpada-padalah," katanya.
Diskusi Media-KDN adalah pertemuan bulanan antara pengurusan tertinggi KDN dengan media pelbagai agensi. Pertemuan sebegini dilihat mempertingkatkan lagi kefahaman kedua belah pihak di atas peranan dan fungsi masing-masing. Pada diskusi kali ini lebih dari 15 pengamal media utama negara telah hadir.
--team berita ikdn.
|