Misi Sekolah Integriti
Editor iKDN | 23 Februari 10 9:02am
Sekolah Integriti adalah inisiatif proaktif Jabatan Penjara Malaysia kepada pesalah-pesalah juvana dan banduan muda yang ditahan di bawahnya. ketika ini terdapat enam buah sekolah integriti yang dibahagikan kepada zon. Pembahagian zon itu ialah Zon Utara (Sekolah Integriti Sungai Petani), Zon Tengah (Sekolah Integriti Kajang), Zon Selatan (Sekolah Integriti Kluang), Zon Timur (Sekolah Integriti Marang), Zon Sabah (Sekolah Integriti Kota Kinabalu) dan Zon Sarawak (Sekolah Integriti Kuching).
Sekolah integriti ini melengkapkan pengwujudan Sekolah Henry Gurney yang kini berada di Telok Mas, Melaka dan Sekolah Henry Gurney Keningau, Sabah untuk memberi ilmu akademik kepada penghuni mudanya. Konsep pelaksanaannya menyediakan pendidikan formal berdasarkan kurikulum Kementerian Pelajaran Malaysia dalam aliran akademik dalam bidang vokasional dan kemahiran.

Untuk juvana dan banduan muda, modul dibahagikan mengikut kesesuaian kepada latar belakang pendidikan mereka sebelum ini. Sementara dalam penentuan kelas pula tahap umur tidak menjadi penilaian sebaliknya berdasarkan pencapaian akademik.
Di samping itu juga, terdapat kelas Pra PMR iaitu berasaskan kepada latar pendidikan mereka di mana guru akan membuat temuduga mengkaji dari segi pencapaian pendidikan mereka.
Pergerakan mereka akan mengikut tahap kemajuan misalnya dari Pra PMR ke Pra SPM kemudian ke SPM dan seterusnya.
Sehingga 3 Jun 2009 yang lalu terdapat 544 pelajar di sekolah ini. 11 orang pelajar sedang mengikuti pembelajaran di atas talian atau e-learning di peringkat ijazah dan diploma dan empat orang sedang belajar di Kolej Polytec Mara dalam bidang Pengurusan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop ketika
Majlis Pelancaran Aliran Vokasional & Kemahiran Sekolah Integriti
Rekod pencapaian akademik oleh pelajar sekolah ini agak membanggakan kerana dari 31 calon yang menduduki PMR hanya seorang sahaja yang gagal. Sementara pada tahun 2007, calon 44 orang, lulus 42 orang. Tahun 2008 pula, calon seramai 34 orang dan jumlah lulus seramai 32 orang iaitu hanya dua sahaja yang gagal. Tahun 2009 calon 35 orang dan lulus seramai 33 orang dan gagal 2 orang sahaja.
Untuk pencapaian SPM pula, pada tahun 2007, calon 54 orang, lulus 50 orang dan gagal 4 orang. Tahun 2008, calon seramai 74 orang dan jumlah lulus sebanyak 72 orang iaitu 2 orang gagal.
Untuk STPM, hanya seorang calon seorang pada tahun 2007 dan pada 2008, hanya 3 sahaja yang lulus dari 11 calon yang menduduki peperiksaan itu.
"Dari segi pencapaian kita lihat hasilnya. Walhal ketika mereka di luar dari penjara pencapaian mereka tidak sebaik ini. Jadi apa yang ingin saya sampaikan ialah kita telah dapat melihat hasilnya hasil dari pendekatan penjara yang menghukum sambil mendidik," kata Datuk Wira Abu Seman B. Yusop dalam lawatan kerja beliau ke Sekolah Ingteriti Sungai Petani baru-baru ini.
"Sesungguhnya apa yang mereka dapat dari penjara ini dapat membimbing mereka kembali kepada masyarakat. Penjara bukanlah semata-mata tempat untuk mengurung orang sebaliknya memberi peluang kedua," katanya.
--team berita ikdn |