Temubual Personaliti KDN bersama En. Mohd Ridzuan B. Md Zain
Editor iKDN | 18 November 09 1:39am

Temubual Personaliti KDN
bersama En. Mohd Ridzuan B. Md Zain
(Pemeriksa Filem Rendah, Bahagian Kawalan Filem)
Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya
*****************************************************
S1: Kerjaya sebagai Pemeriksa Filem Rendah atau selalu dipanggil sebagai Juru Potong Filem jarang diketengahkan. Macamana boleh berminat dengan kerjaya ini?
Jawapan:
Kerja saya sebagai pemotong filem bermula pada tahun 1981. Pada peringkat tu, saya belajar melalui senior saya dan diajar secara rambang, kata orang tengok, perhati dan dengar sahaja dan tidak terlalu terperinci seperti hari ini. Teknik pemotongan filem ini, sentiasa berkembang pada setiap masa dan membuat pemotongan filem ini memerlukan kemahiran dari masa ke semasa. Saya membuat pemotongan adegan berpandukan laporan dari Lembaga Penapis Filem. Kita perlu membaca sinopsisnya demi memudahkan pemotongan filem. Di mana selepas pemotongan dibuat, ia perlu disambung kembali dan di mana kemahiran diperlukan bagi tidak mencacatkan jalan cerita. Ia adalah berdasarkan kepada pengalaman yang saya hadapi dari tahun ke tahun.
S2: Bagaimana anda hendak menyampaikan tugasan (kerjaya anda) ini kepada generasi baru?
Jawapan:
Untuk pengganti saya, saya akan mengajar berdasarkan apa yang saya pelajari dari pengalaman dan saya akan membantu. Kerja saya ini unik. Unik sebabnya apabila saya mendapat sesuatu laporan, saya perlu membaca synopsis untuk mengetahui perjalanana sesebuah cerita. Tugas saya ini memerlukan teknik, kerja yang tersendiri dan mengambil satu masa yang panjang untuk memahami jalan cerita. Kemudiannya baru memulakan kerja memotong filem.

S3: Pencemaran budaya dari filem-filem anasir luar dilihat berkembang pada masa sekarang. Apakah yang anda rasa perlu dilakukan bagi memartabatkan budaya ketimuran tanpa dijejaskan dengan budaya barat?
Jawapan:
Kita sekarang ni di dalam zaman siber dan teknologi terkini. Berdasarkan pengalaman saya, pembikinan filem-filem tempatan dengan filem-filem luar berbeza. Di sini saya cuma nak menekankan kita kena tahu bahawasanya filem-filem daripada luar, mereka ada budaya mereka sendiri dan filem tempatan kita, kita ada budaya. Kita kena faham bentuk filem luar negara. Saya merasakan filem – filem luar perlu ditapis kerana filem ini bukan filem orang Islam, budaya mereka berbeza dengan budaya kita di mana kita dididik dengan budaya dan agama. Ia perlu dilihat dari segi adat dan budaya kita. Kita ada tatasusila dan tidak boleh sewenang-wenangnya ikut 100% apa yang telah kita tonton dalam filem tersebut. Ianya atas diri sendiri untuk menilai samada boleh atau tidak boleh berpandukan kepada didikan agama pada awal lagi, itu yang mustahak, kena ada didikan agama. Sebab itu kita letakkan klasifikasi pada filem. Dulu tidak ada klasifikasi. Klasifikasi merujuk kepada bentuk filem mengikut ciri-ciri tertentu; pengelasan tahap untuk tontonan penonton seperti U (umum) semua golongan boleh menonton filem itu dan sebagainya. Walaupun sesuatu filem itu temanya tidak beberapa bagus, tetapi ada pengajaran di dalamnya dan dengan adanya klasifikasi, kita boleh lepaskan filem tersebut untuk ditayangkan.

S4: Bagaimana hendak menjadikan sesuatu kerja itu bukanlah bebanan kerana dilakukan secara berseorangan?
Jawapan:
Kerjaya saya ini istimewa. Setiap hari saya akan menerima filem-filem baru daripada Barat, Hong Kong, Asia Tenggara dan sebagainya. Filem yang belum pernah ditonton oleh orang luar tetapi ditonton oleh Lembaga Penapisan Filem dan kemudiaanya jika ada potongan, maka saya adalah orang nombor dua akan menonton filem itu dan seterusnya membuat pemotongan filem. Bagi saya bebanan kerja tu tidak ada. Saya duduk, tonton dan potong berdasarkan laporan oleh Lembaga Penapisan Filem. Jadi bagi saya bebanan kerja tidak ada. Sebab tu bagi saya, kepada sesiapa yang nanti ganti saya ni, bermakna dia kena ambil konsep apa yang saya amalkan. Bebanan kerja tidak ada, sebaliknya ada keseronokkan sebab akan tengok filem yang belum ditayangkan yang tidak ditonton lagi oleh orang lain. Apabila kita menonton di panggung, secara tidak langsung kita tahu adegan yang dipotong, begitu juga dengan potongan yang dibuat rangkaian televisyen yang lain. Apa yang memberi semangat kepada saya ialah apabila mendapat pujian daripada negara luar iaitu daripada pengedar-pengedar filem khususnya daripada Jepun, Amerika dan sebagainya.
S5: Pandangan anda terhadap industri perfileman kita dalam 10 tahun akan datang?
Jawapan:
Bagi pandangan saya, perfileman negara kita perlu mengikut teknologi terkini. Sekarang zaman siber, banyak menggunakan Internet. Jadi bila filem-filem luar yang tidak ditayangkan di sini akan ditonton oleh penonton melalui Internet. Mungkin 10 tahun lagi prosedur menjadi lebih senang. Jika dilihat teknologi perfileman barat adalah teknologi terkini dan teknologi tersebut mungkin kita akan capai dalam 5 tahun lagi, itu bermakna kita ketinggalan. Pengkarya filem tempatan perlu bersiap sedia menghadapi perubahan teknologi dari masa ke semasa.
|