Temubual Eksklusif Bersama Y. Bhg. Dato' Yusof Haslam
Editor iKDN | 3 November 09 6:39am

Temubual Eksklusif Bersama Y. Bhg. Dato' Yusof Haslam Pengarah dan Penerbit Drama/Filem Berkaitan Isu Keselamatan Dari Sudut Industri Seni

S1: Sebagai salah seorang warga Malaysia, apakah pandangan Dato' mengenai tahap keselamatan di Malaysia?

Dato': Bagi saya tahap keselamatan negara kita beberapa tahun yang lalu baik-baik saja (berada pada tahap memuaskan) tidak seburuk beberapa negara lain. Tetapi kalau dibandingkan kita dengan Singapura, kita agak ketinggalan sedikit. Saya nampak dari segi peraturan dan penguasaan tidak begitu kuat. Dahulu kita ok tetapi sejak pilihanraya 2008, beberapa tindakan yang diambil polis banyak dipersoalkan oleh masyarakat. Mereka ragu-ragu. Ekoran daripada itu, penjenayah menjadi semakin berani. Orang ramai seperti tidak lagi takut dengan polis. Ini yang saya nampak. Jenayah ragut di mana-mana. Bukan sahaja di bandar tetapi juga di kampung-kampung. Benda ini berlaku disebabkan tiada kesedaran dalam diri. Masih lagi dalam kategori selamat tetapi kejadian jenayah yang meningkat wajar diambil maklum. Tindakan lebih serius perlu diambil. Negara contoh ialah Singapura. Kita di sini longgar, gambar lucah boleh didapati di tepi jalan sahaja. Kalau dalam blog sesiapa sahaja boleh mengata dan memfitnah kerajaan. Kita diam saja tetapi di Singapura orang takut. Mereka tidak berani. Kita tidak boleh terlalu bebas dan berdiplomasi seperti sekarang yang akhirnya akan menghancurkan masyarakat kita. Kita perlu ada garisan, sekatan dan undang-undang yang ketat. Saya tidak tahu apa punca masalah ini.

S2: Adakah itu memberi ilham kepada Dato' untuk memfokuskan halatuju syarikat produksi Dato' kepada penerbitan yang lebih berunsurkan keselamatan dan kententeraman awam.

Dato': Itu merupakan salah satu sebab juga, tetapi ianya lebih bergantung pada jiwa sendiri. Sejak 1985 saya dah rapat dengan polis. Dunia saya pada masa itu juga berkisar tentang polis. Bapa saya asalnya seorang anggota polis. Saya berminat pada badan beruniform, jadi apabila saya menerbitkan drama kepolisan pada 1985 saya menjurus kepada soal jenayah dan sebagainya. Apa yang ditunjukkan dalam drama saya ialah adalah untuk mencegah jenayah tetapi bukan dengan cara propaganda. Cerita yang dihasilkan ini tidaklah terlalu detail sangat sebagai contohnya seperti CSI (Crime Scene Investigation). CSI ni...orang kampung tak nak tengok. Orang-orang 'urban' dan intelektual je yang tengok. Orang Melayu suka tengok cerita yang ada pengajarannya, ada keluarga, ada cinta dan sebagainya. Jadi kita buat dalam bentuk drama dan kupas dan kemudiannya kita hantar ke Bukit Aman skripnya untuk dinilai dan seterusnya mendapat kelulusan. Itulah hubungan kami (Skop Production) selama 25 tahun dengan Bukit Aman.

S3: Adakah ini bermakna fokus Skop Production hanya akan menjurus kepada kisah-kisah kepolisan. Sedangkan banyak lagi genre filem/drama yang Dato' boleh ketengahkan.

Dato': Tidak juga. Kita juga ada menerbitkan drama-drama lain. Kita juga terbitkan kisah-kisah masyarakat seperi Sembilu, Si Capik, Bohsia...

S4: Bercakap pasal Bohsia, kelihatannya sinopsis cerita ini berlawanan dengan produksi Skop sebelum ini.

Dato' : Bohsia idea dan diuruskan oleh anak saya (Syamsul) Anak saya sendiri dibesarkan dalam penerbitan drama polis. Dari kecil sudah pegang senapang. Namun saya dan anak saya juga kadang-kadang berlaku perselisihan pendapat dan bertekak kerana mereka adalah generasi baru yang mahu kita 'expose' segala-galanya. Kadang-kadang tanpa batasan. Jadi saya sebagai orang tua, saya 'guide' mereka. Kita dalam sebuah negara ada undang-undang dan lembaga penapis. Jadi kita terbitkan drama atau filem atas batasan yang boleh sahaja. Saya sunting dan tapis yang mana tidak boleh didedahkan kepada masyarakat luar. Masyarakat menilai sesuatu filem berdasarkan tajuk filem itu juga. Sebagai seorang bapa, saya memberi bimbingan kepada anak saya supaya orang tidak memberi persepsi negatif terhadap filem yang diterbitkan. Setiap cerita perlu ada mesej yang jelas supaya masyarakat tidak beranggapan buruk. Sudah tentu setiap cerita yang dihasilkan mempunyai baik buruknya tetapi kita harus bijak menilai dari segi baiknya.

S5: Tadi Dato' ada menjelaskan jika dibandingkan Malaysia dengan Singapura, kita ketinggalan dari segi tahap keselamatan. Tidakkah filem-filem yang berunsur keganasan itu menjadi salah satu penyebab. Tidakkah stesen tv kita perlu membuka lebih ruang kepada produksi berunsur kepolisan? Kala ini tema cinta korporat menjadi pilihan utama.

Dato': Pada tahun 1985 saya telah mula menghasilkan drama kepolisan ini. Ia bermula apabila program yang saya hasilkan mendapat sambutan daripada orang ramai dan mendapat 'feedback' yang bagus. Slot siri tersebut disambung. Sebenarnya ramai penerbit-penerbit lain yang menghantar drama bercorak kepolisan tetapi oleh kerana program-program yang dihasilkan itu tidak begitu menjadi dan tidak mencapai rating yang dikehendaki oleh stesen TV, mereka tidak berjaya. Drama Gerak Khas saya, tanpa saya sedari sudah 11 tahun ditayangkan kerana rating yang bagus dan disambung kontrak oleh pihak RTM. Bukanlah saya ni 'jaguh' menghasilkan cerita polis, tetapi mungkin pengalaman saya lebih dan orang lain juga mahu mencuba dan disebabkan tidak mendapat sambutan jadi mereka tidak dapat meneruskannya. Selain itu, dari segi peraturan, sesetengah penerbit ini tidak tahu peraturan dalam menghasilkan program bercorak kepolisan. Mereka buat tanpa merujuk kepada pihak-pihak yang berkaitan contohnya Bukit Aman. Ada garis panduan dan peraturan yang perlu diikuti jika tidak penerbitan akan cacat dan ditolak. Itulah rahsia drama kepolisan saya selama 25 tahun ini. Bagi saya, menghasilkan cerita kepolisan ini tidaklah begitu susah jika kita mengikuti peraturan dan prosedur yang ditetapkan pihak polis. Namun bagi mereka yang inginkan kebebasan berkarya mungkin ia merupakan halangan.

S6: Bagaimanakah pula Dato' melihat peranan Lembaga Penapisan Filem yang dikatakan menyekat ruang kreatif dan ruang berkarya?

Dato': Formula saya mudah sahaja.. saya berkarya atas apa yang boleh. Jika diikutkan banyak skrip yang saya dapat dan saya tulis berkaitan dengan jenayah-jenayah berat seperti kes-kes dadah dan rasuah, tetapi skrip-skrip itu ditolak atas sebab-sebab tertentu. Jika sudah tidak boleh...mengapa perlu saya teruskan?

S7: Tentu Dato' menyedari bahawa masyarakat kita ada membuat perbandingan antara drama kepolisan kita dengan drama kepolisan luar dari sudut konten dan jalan cerita mereka yang lebih telus dan berani. Contohnya mereka tidak takut untuk menunjukkan 'polis jahat'. Apa kata Dato'?

Dato': Dari sudut konten dan penceritaan, boleh kalau nak buat macam mereka, tapi kita ada batas-batas yang perlu diikuti. Kadang-kadang saya rasa ada cerita-cerita yang kita boleh ikut. Saya tidak setuju jika kita mengikut drama-drama Hindustan kerana mereka terlalu terbuka seperti memijak orang, membuka pakaian sesuka hati. Ini kerana realiti itu kita tidak wajar ditunjukkan secara terperinci. Kita ada juga tunjuk realiti sebenar dalam drama... tetapi masih mengambil kira sensitiviti masyarakat. Kita buat apa yang boleh untuk hasilkan drama, dan saya tidak menganggap ini satu halangan kepada kreativiti kerana kalau kita membuat sesuatu yang dihalang oleh pihak kerajaan tetapi jika tidak dapat disiarkan tidak ada gunanya juga.

S8: Sebagai rakyat Malaysia ketika berjalan-jalan di sekitar Kuala Lumpur, adakah Dato' merasa selamat? Lebih-lebih lagi dengan status Dato' sebagai selebriti?

Bagi saya kita perlu berhati-hati saja, elakkan ke tempat yang merbahaya. Tapi saya pernah mengalami satu pengalaman di mana salah seorang pelakon saya di ragut di lokasi penggambaran di hadapan semua krew-krew yang bertugas. Mujurlah semua krew-krew mengejar dan insiden ini seperti dalam drama pula di mana peragut itu jatuh di hadapan kereta polis di stesen minyak dan berjaya ditangkap.

S9: Maksudnya isu keselamatan kita tidaklah kritikal. Ia adalah isu global.

Bagi saya jenayah ada di mana-mana. Tetapi kalau kita biarkan maka ia akan melarat dan menjadi serius. Ini kerana saya nampak kes-kes ragut, rompak ini semakin menjadi-jadi...kes-kes bunuh pula seperti perkara biasa. Tindakan Kerajaan menambah bilangan anggota polis saya setuju sangat-sangat. Memang baik kerana kita tidak cukup anggota polis sebenarnya. Rakyat kita semakin ramai.

S10: Soalan terakhir saya, berapa lamakah lagi Dato' akan memfokuskan produksi Dato' kepada tema kepolisan?

Ini merupakan bidang saya untuk berjuang dan menyumbang kepada negara saya. Berkarya, 'survival' dan ruang untuk mencari rezeki. Selagi saya masih diperlukan, selagi karya saya diterima selagi hayat dikandung badan saya akan teruskan. Semangat ini juga saya serapkan pada anak saya untuk meneruskannya. tetapi orang muda biasalah, pandangan mereka agak lain sedikit tetapi lama kelamaan saya percaya dia akan faham maksud dan niat saya. Masanya akan tiba juga.

--team berita ikdn

 

Hebahan Untuk Media
Kenyataan Media Menteri

Selamat Datang Kepada Pengunjung Kami,

iKDN ialah sebuah portal berita. Ia akan dilengkapi dengan elemen audio dan visual (webtv). iKDN berfungsi sebagai pelengkap sumber maklumat untuk rakyat Malaysia khususnya yang berkaitan dengan Kementerian Dalam Negeri.

Di sini para pengunjung boleh mendapat info-info terkini mengenai KDN.

Media dibenarkan untuk memetik sebarang maklumat di dalam portal ini sebagai bahan siaran di media masing-masing dengan syarat dimaklumkan sumber berita itu dipetik dari www.ikdn.org atau www.ikdn.gov.my

Terima kasih

Editorial iKDN
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Dalam Negeri

Tahukah Anda
Di bawah Akta Penagih Dadah 6(1)b ibu bapa boleh secara sukarela menghantar anak-anak mereka yang berhadapan dengan masalah najis dadah ke pusat pemulihan (PUSPEN). Dalam tempoh 20 bulan terakhir ini, 444 kes sukarela dilaporkan. Jumlah itu mewakili 6.33% dari jumlah penghuni di PUSPEN seluruh Negara.
Jumlah Pengunjung:

© 2009, Portal Berita KDN, Kementerian Dalam Negeri, Hakcipta Terpelihara

Kami mengalu-alukan input anda untuk dimuatkan didalam portal berita ini.
Sila Hubungi Kami