Pembinaan Pondok Polis Pelancong Untuk Kurangkan Jenayah dan Majikan Dinasihatkan Daftar Segera Pekerja Di Kalangan PATI
Editor iKDN | 19 Oktober 09 2:53pm

Kenyataan Akhbar
YB. Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein
Menteri Dalam Negeri

Pembinaan Pondok Polis Pelancong Untuk Kurangkan Jenayah dan Majikan Dinasihatkan Daftar Segera Pekerja Di Kalangan PATI

Kota Kinabalu, 18 Oktober 2009

Sebagaimana yang kita sedia maklum, pada bulan Julai 2009 yang lalu, YAB. Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan enam Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) sebagai komitmen kesungguhan Kerajaan dalam menggerakkan konsep 1Malaysia; Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Usaha meningkatkan tahap keselamatan awam dengan agenda mengurangkan kadar jenayah telah digariskan sebagai salah satu NKRA dengan sasaran menurunkan kadar jenayah sebanyak 20 peratus menjelang penghujung tahun 2010. Pelbagai strategi dan pendekatan sedang dan akan dilaksanakan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) termasuk mengenal pasti kawasan-kawasan panas (hot spots) yang mempunyai kadar jenayah tinggi. Setakat ini, sebanyak 50 hot spots telah dikenal pasti yang meliputi empat negeri yang mempunyai kadar jenayah khususnya kes jenayah jalanan yang tertinggi iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor.

Namun begitu, ini tidak bermakna negeri seperti Sabah tidak diberikan tumpuan dalam agenda mengurangkan kadar jenayah. Kajian sedang dilaksanakan untuk menentukan strategi dan pendekatan yang bertepatan untuk menggerakkan usaha mengurangkan jenayah di negeri ini. Maklum balas awal yang kita terima antara fokus dan keutamaan bagi negeri Sabah adalah untuk mengurangkan kadar jenayah di kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) mengambil kira jumlah kebanjiran golongan ini di Sabah.

Sehubungan itu, saya telah mengarahkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah untuk mengenal pasti kawasan-kawasan yang berkenaan di seluruh negeri Sabah. Pada hari ini, saya telah memilih untuk turun sendiri membuat tinjauan ke kawasan pusat pelancong dan komersil di sekitar pinggir pantai pusat Bandaraya Kota Kinabalu ini kerana difahamkan kawasan ini adalah salah satu daripada hot spots di Sabah. Kawasan ini merupakan kawasan tumpuan para pelancong sama ada daripada tempatan ataupun luar Negara dan didapati mempunyai indeks kadar jenayah yang tinggi khususnya jenayah yang melibatkan PATI.

Berdasarkan statistik IPK Sabah, sepanjang tahun 2008, sebanyak 715 kes jenayah dilaporkan berlaku di sekitar kawasan pesisir pantai pusat pelancongan dan komersil di Bandaraya Kota Kinabalu ini. Ia meliputi sebanyak 147 kes jenayah kekerasan seperti samun dan pergaduhan serta 568 kes jenayah harta benda seperti curi dan ragut. Setakat bulan Januari hingga September 2009 pula, sebanyak 401 kes telah dilaporkan melibatkan 54 kes jenayah kekerasan dan 347 kes jenayah harta benda. Selain dari menjejaskan ketenteraman awam, situasi ini akan memberi kesan negatif kepada industri pelancongan yang merupakan salah satu industri penting bagi negeri Sabah.

Oleh yang demikan, sebagai langkah awal, sukacita saya ingin mengumumkan bahawa kita telah bersetuju untuk mewujudkan Pondok Polis Pelancong di kawasan ini. IPK Sabah dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu sedang memuktamadkan lokasi yang bersesuaian untuk pembinaan pondok polis yang pertama seumpamanya di negeri Sabah. Ia akan berfungsi sebagai pusat setempat untuk operasi pengawasan kawasan sekitar khususnya dalam usaha meningkatkan kehadiran (omnipresence) anggota polis di jalanan. Kita berharap kewujudan Pondok Polis Pelancong ini akan dapat membendung kejadian kes-kes jenayah di sekitar kawasan ini.

Pada masa yang sama, Kerajaan akan terus memberikan fokus terhadap usaha menangani kebanjiran PATI di negeri Sabah. Seperti yang telah saya maklumkan sebelum ini, kita telah melaksanakan Operasi Bersepadu PATI Sabah dengan 2 Fasa iaitu;

  • Fasa I bermula 7 Ogos 2008 hingga 18 Disember 2008 meliputi Pantai Barat Sabah;
  • Fasa II bermula 23 Februari 2009 hingga 31 Disember 2009 meliputi Pantai Timur Sabah.

Perangkaan yang diperolehi dari Bilik Gerakan Operasi di Pasukan Petugas Khas Persekutuan Sabah/Labuan, Majlis Keselamatan Negeri Sabah menunjukkan jumlah keseluruhan Pendatang Luar Negara (PLN) di Pantai Barat dan Timur Sabah adalah seramai 610,104 orang merangkumi pengenalpastian melalui Operasi Bersepadu Fasa I (PATI Tulen) seramai 5,643 orang, Operasi Bersepadu Fasa II (PATI Tulen) seramai 4,427 orang, Pendaftaran Pekerja PATI (tanpa dokumen) beserta tanggungan seramai 312,837 orang, Pelarian seramai 57,197 orang dan Pekerja Asing (Secara Sah dan Berdokumen) seramai 230,000 orang.

Kejayaan paling signifikan keseluruhan Operasi Bersepadu ini adalah apabila seramai 312,837 orang Pekerja PATI (tanpa permit kerja/tanpa dokumen/illegal) beserta tanggungan telah dapat didaftarkan melalui Program Pendaftaran Pekerja PATI dengan Majikan di Sabah. Melalui program ini yang telah bermula dari 1 Ogos 2008 hingga 31 Oktober 2008, para majikan yang sebelum ini telah mengambil Pekerja Asing secara tidak sah diarahkan untuk mendaftarkan pekerja mereka dan sekali gus menguruskan dokumen mereka secara sah tanpa diambil tindakan undang-undang.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menetapkan sehingga 31 Mei 2009 untuk para majikan supaya menjelaskan levi para pekerja. Pendekatan ini diambil untuk menjaga kepentingan industri-industri di Sabah khususnya sektor perladangan kerana sekiranya tindakan drastik diambil untuk pengusiran, semua sektor terlibat akan terjejas serta merta. Pada masa yang sama, pendaftaran ini akan membolehkan data diperolehi untuk mempermudahkan proses pengesanan dilaksanakan dari semasa ke semasa.

KDN telah memberi peluang kedua untuk para majikan mendaftarkan para pekerja PATI mereka secara sah. Tempoh yang sepatutnya tamat pada 31 Mei 2009 dilanjutkan sehingga 31 Oktober 2009. Pada masa yang sama, bermula 1 Julai 2009 sehingga 31 Oktober 2009, KDN telah memberikan diskaun 50 peratus kadar levi bagi setiap seorang pekerja asing mengikut amaun yang telah ditetapkan bagi setiap sektor di Sabah. Daripada sejumlah 317,837 orang PATI dan tanggungan yang telah berdaftar, setakat 6 Oktober 2009, sebanyak 192,723 pekerja PATI dan tanggungan telah didaftarkan secara sah. Ini bermaksud masih ada seramai 120,114 orang yang masih belum didaftarkan secara sah.

Sehubungan itu, kita telah membuat keputusan untuk bertindak tegas dalam perkara ini. Peluang demi peluang telahpun diberikan kepada mereka yang terlibat. JIM juga telahpun diarahkan untuk membuka kaunter pendaftaran setiap hari termasuk hari Sabtu dan Ahad bermula dari awal bulan Oktober sehinggalah berakhirnya tempoh pada 31 Oktober 2009. Sebaik sahaja tamat tempoh, gerakan Operasi Bersepadu PATI yang lebih agresif akan dilaksanakan dan sekiranya ada pekerja PATI yang tidak didaftarkan ditahan, kita akan mengawal tindakan sebagaimana yang telah ditetapkan oleh undang-undang. Kerajaan memahami masalah yang dihadapi pihak majikan, tetapi mereka juga perlu menyedari tanggungjawab mereka dalam membantu menangani isu kebanjiran PATI di Sabah.

=tamat=

 

Hebahan Untuk Media
Kenyataan Media Menteri

Selamat Datang Kepada Pengunjung Kami,

iKDN ialah sebuah portal berita. Ia akan dilengkapi dengan elemen audio dan visual (webtv). iKDN berfungsi sebagai pelengkap sumber maklumat untuk rakyat Malaysia khususnya yang berkaitan dengan Kementerian Dalam Negeri.

Di sini para pengunjung boleh mendapat info-info terkini mengenai KDN.

Media dibenarkan untuk memetik sebarang maklumat di dalam portal ini sebagai bahan siaran di media masing-masing dengan syarat dimaklumkan sumber berita itu dipetik dari www.ikdn.org atau www.ikdn.gov.my

Terima kasih

Editorial iKDN
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Dalam Negeri

Tahukah Anda
Di bawah Akta Penagih Dadah 6(1)b ibu bapa boleh secara sukarela menghantar anak-anak mereka yang berhadapan dengan masalah najis dadah ke pusat pemulihan (PUSPEN). Dalam tempoh 20 bulan terakhir ini, 444 kes sukarela dilaporkan. Jumlah itu mewakili 6.33% dari jumlah penghuni di PUSPEN seluruh Negara.
Jumlah Pengunjung:

© 2009, Portal Berita KDN, Kementerian Dalam Negeri, Hakcipta Terpelihara

Kami mengalu-alukan input anda untuk dimuatkan didalam portal berita ini.
Sila Hubungi Kami