'James Bond KDN'
Editor iKDN | 7 Oktober 09 8:22am
Kementerian Dalam Negeri adalah sebuah kementerian yang begitu dekat di hati rakyat. Dengan lapan jabatan di bawahnya seperti PDRM, Jabatan Penjara, Jabatan Imigresen, JPAM, RELA, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), AADK dan Percetakan Nasional Berhad, KDN sememangnya dekat di hati rakyat.

Kalangan orang ramai juga mungkin menganggap antara syarat kebolehan untuk menjadi pegawai di KDN ini ialah kebolehan menembak kerana skop utama KDN ialah keselamatan. Namun pada satu pertandingan yang diadakan secara tertutup pada hujung minggu yang lalu di LISRAM, nyata sekali kebolehan menembak itu tidak ada. Menembak boleh tetapi kalau peluru itu dihambur membabi buta tidak mengenai papan sasaran apalah maknanya.

Kebanyakkannya menang gaya sahajalah. Bak pegang pistol lengkap dengan kaca mata keselamatan serta penutup telinga...kalah rasanya James Bond tujuh beradik. Semua orang berkongsi rasa panik dan gedebar pada kali pertama memegang pistol. Tatkala diarahkan untuk menarik picu sebenarnya dibuat dengan hati yang begitu kecut sekali. Mendengar dentuman pistol yang memuntahkan peluru adalah kemuncak gemuruhnya. Nasib baik tidak ada yang pengsan.

Sukan Menembak wajar diberi publisiti kerana kita telahpun mempunyai LISRAM iaitu lapang sasar menembak yang menepati kelas dunia. Walau keputusan hasil dari pertandingan tertutup itu tidak begitu menggalakkan dan menjadi bahan jenaka hadirin yang hadir sekurang-kurangnya ada inisiatif mencari bakat terpendam.
--team berita ikdn |