Pemohon Dari Bosnia
Editor iKDN | 7 September 09 3:33pm
Ketika team berita iKDN meninjau-ninjau sekitar ruang temuduga taraf kewarganegaraan untuk peringkat panggilan ulangan, team iKDN terperasan seorang lelaki yang wajahnya mirip lelaki Eropah. Setelah diselidiki maka didapati pemohon itu berasal dari Bosnia.
Encik Kesten Semso, 56, merupakan pemohon tunggal yang berasal dari Bosnia pada sesi temuduga kali ini. Niat team berita iKDN untuk menemubual beliau disambut dengan baik. Bahkan kami agak terkejut kerana Encik Kesten amat fasih berbahasa Melayu.
"Saya sekarang menetap di Muar, Johor. Saya tinggal di sana sejak 26 tahun yang lalu. Saya kini sudah mempunyai 6 orang anak sejak berkahwin dengan orang di sini. Anak-anak saya semuanya warganegara Malaysia," katanya.
Apabila ditanya mengapa beliau mahu menjadi warganegara Malaysia, beliau terus tersenyum dan menjawab dengan penuh sopan. "Saya tertarik untuk menjadi warganegara Malaysia kerana di Malaysia mempunyai banyak sumber asli dan kaya dengan khazanah yang sesuai dengan bidang saya sebagai pengkaji."katanya.
Kesten berkata beliau kini sedang membuat kajian tentang daun kelapa sawit, fungsi dan kegunaan daun kelapa sawit. Jika penyelidikan beliau berjaya maka ia akan memberi manafaat kepada industri sawit negara ini.
Selain membuat kajian, beliau juga berniaga secara kecil-kecilan. Encik Kesten Semso telah memohon untuk menjadi warganegara sejak 10 tahun yang lalu dan ini merupakan kali pertama beliau dipanggil temuduga sejak permohonan beliau disenarai untuk temuduga.
--team berita iKDN
|