Mesyuarat Khas Mengenai Isu-Isu Keselamatan Semasa Negara
Editor iKDN | 19 Ogos 09 4:58pm

Kenyataan Akhbar

YB. Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein
Menteri Dalam Negeri

Mesyuarat Khas Mengenai Isu-Isu Keselamatan Semasa Negara
Putrajaya, 19 Ogos 2009


Mesyuarat khas ini adalah susulan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri sebelum ini yang telah memutuskan bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Perdana Menteri (JPM) serta Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dipertanggungjawabkan untuk menyelaraskan beberapa tindakan dan pendekatan yang menyentuh peranan dan fungsi agensi di bawah kementerian masing-masing.

Justeru, mesyuarat yang saya pengerusikan ini bersama Menteri di JPM, YB. Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, YB. Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim telah membincangkan bidang tanggungjawab tersebut secara lebih terperinci. Antara yang dibincangkan ialah usaha menyelaraskan tindakan dan kerjasama di kalangan jabatan/agensi kerajaan yang berkaitan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara (JPN), bagi memudahkan sebarang tindakan (penguatkuasaan) diambil di bawah Akta Hasutan ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan hasutan, dan memastikan mana-mana kes yang didakwa itu adalah benar-benar kukuh dan berupaya disabitkan kesalahannya.

Mesyuarat juga membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan laman web dan blog yang melanggar mana-mana undang-undang negara serta mengambil tindakan undang-undang segera bagi tujuan mendakwa pemilik dan penulis laman-laman web dan blog-blog yang berunsur hasutan dan fitnah.

Dalam pada itu, mesyuarat juga membincangkan untuk mengadakan kempen kesedaran secara agresif di seluruh negara bagi menyedarkan setiap anggota masyarakat mengenai pendirian kerajaan dalam mengkaji semula undang-undang pencegahan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan pihak kerajaan tidak sesekali mempunyai rancangan untuk memansuhkannya. Kempen ini akan memberi penjelasan secara komprehensif mengenai intipati keseluruhan berkaitan peruntukan-peruntukan di dalam ISA serta memberikan penekanan dan juga kefahaman kepada orang ramai bahawa ISA bukanlah suatu undang-undang berbentuk draconian ataupun bersifat arbitrary detention.

Selain membuat penyelarasan berhubung tiga perkara ini, mesyuarat juga mendengar taklimat daripada pihak PDRM mengenai isu-isu keselamatan semasa negara khususnya yang berkaitan dengan penyalahgunaan media alternatif serta taklimat oleh pihak Penasihat Undang-Undang KDN mengenai perkembangan terkini berkaitan isu cadangan pindaan ISA.

Berhubung penyalahgunaan media alternatif, saya ingin memaklumkan bahawa pihak kerajaan akan memantau serta meneliti secara serius termasuk mengambil tindakan melalui undang-undang sedia ada serta menyekat capaian kepada laman web dan blog yang didapati melanggar undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan. Usaha ini termasuk mendakwa penulis-penulis laman-laman web dan blog yang melakukan kesalahan mengeluarkan kenyataan palsu, lucah atau hasutan yang menimbulkan syak wasangka dan perpecahan kaum serta kenyataan yang mempersendakan agama.

Dalam soal ini, saya ingin menegaskan bahawa setiap pihak atau individu tidak harus menggunakan alasan kebebasan bersuara dalam konteks demokrasi ketika mengemukakan apa-apa pandangan serta pendapat, tanpa langsung memikirkan kepentingan orang lain khususnya masyarakat berbilang kaum di negara ini. Demokrasi dalam erti kata sebenarnya turut mempunyai had dan batas yang perlu dipatuhi. Jika mereka melangkaui had dan batas ini, maka undang-undang akan mengambil tempat bagi melindungi rakyat dan negara.

Berhubung pelaksanaan kempen kesedaran mengenai ISA, usaha ini perlu dilakukan bagi menonjolkan hakikat bahawa kerajaan akan mengkaji semula ISA bagi mengatasi kelemahan-kelemahan yang ada dan sekali gus menutup ruang penyalahgunaan kuasa serta lain-lain perkara yang menimbulkan pertikaian. Ia juga bagi memberi kefahaman kepada rakyat bahawa kerajaan sebenarnya tidak pernah menggunakan ISA dengan sewenang-wenangnya. Sebaliknya ISA digunakan sebagai undang-undang pencegahan untuk melindungi negara daripada insiden buruk terutama dalam masyarakat majmuk di negara ini.

Sesungguhnya, setiap usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan bermatlamat untuk melindungi rakyat sekali gus memastikan rakyat dapat hidup dalam keadaan selamat, aman dan sejahtera. Pihak atau individu yang mempunyai kepentingan tertentu harus sedar bahawa pihak kerajaan tidak akan sesekali berkompromi terutama dalam soal yang berhubung kait dengan keselamatan rakyat dan Negara. Dalam konteks ini, kepentingan rakyat sentiasa diutamakan sejajar gagasan 1 Malaysia ‘rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’.

=tamat=

 

Hebahan Untuk Media
Kenyataan Media Menteri

Selamat Datang Kepada Pengunjung Kami,

iKDN ialah sebuah portal berita. Ia akan dilengkapi dengan elemen audio dan visual (webtv). iKDN berfungsi sebagai pelengkap sumber maklumat untuk rakyat Malaysia khususnya yang berkaitan dengan Kementerian Dalam Negeri.

Di sini para pengunjung boleh mendapat info-info terkini mengenai KDN.

Media dibenarkan untuk memetik sebarang maklumat di dalam portal ini sebagai bahan siaran di media masing-masing dengan syarat dimaklumkan sumber berita itu dipetik dari www.ikdn.org atau www.ikdn.gov.my

Terima kasih

Editorial iKDN
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Dalam Negeri

Tahukah Anda
Di bawah Akta Penagih Dadah 6(1)b ibu bapa boleh secara sukarela menghantar anak-anak mereka yang berhadapan dengan masalah najis dadah ke pusat pemulihan (PUSPEN). Dalam tempoh 20 bulan terakhir ini, 444 kes sukarela dilaporkan. Jumlah itu mewakili 6.33% dari jumlah penghuni di PUSPEN seluruh Negara.
Jumlah Pengunjung:

© 2009, Portal Berita KDN, Kementerian Dalam Negeri, Hakcipta Terpelihara

Kami mengalu-alukan input anda untuk dimuatkan didalam portal berita ini.
Sila Hubungi Kami