Mengenai Lawatan Kerja ke Australia
Editor iKDN | 5 Ogos 09 9:54am
Kenyataan Akhbar
YB. Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein
Menteri Dalam Negeri
Mengenai Lawatan Kerja ke Australia
Canberra, Australia, 4 Ogos 2009
Semalam saya telah memulakan lawatan kerja ke Australia bagi memberi tumpuan terhadap usaha-usaha dua hala yang boleh dipertimbangkan bagi menangani isu-isu jenayah serantau yang turut meliputi kegiatan pemerdagangan manusia.
Dalam lawatan berkenaan saya telah mengadakan perbincangan dengan anggota-anggota Jawatankuasa Kabinet Australia mengenai kawalan sempadan iaitu Menteri Imigresen dan Kerakyatan Senator Chris Evans, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Stephen Smith, Menteri Pertahanan Senator John Faulkner, Peguam Negara Robert McClelland dan Menteri Dalam Negeri Brendan O’Connor.
Lawatan kerja ini juga adalah selaras dengan matlamat Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang bertujuan untuk mengurangkan kadar jenayah jalanan sebanyak 20% menjelang 2010 bagi mencapai matlamat indeks Petunjuk Prestasi Utama (KPI).
Kunjungan saya ini juga adalah sebagai lawatan balas terhadap lawatan kerja yang telah dibuat oleh Perdana Menteri Australia Kevin Rudd ke Malaysia pada 6 hingga 7 Julai lalu. Usaha yang telah dimulakan ini adalah satu daripada bukti kesungguhan kedua-dua pihak dalam menangani pelbagai isu yang sedang dihadapi secara bersama.
Saya ingin menegaskan bahawa perkara yang menyentuh isu pemerdagangan manusia adalah isu serius yang perlu ditangani oleh kedua-dua Negara melalui satu jalinan kerjasama yang lebih rapat. Saya selaku Menteri yang bertanggungjawab terhadap perkara ini telah mula membincangkan perkara ini secara keseluruhan bagi mencari jalan penyelesaian. Usaha serius kedua-dua negara juga perlu dilihat sebagai komitmen bagi mewujudkan rantau yang bebas daripada pengaruh kegiatan seumpama ini.
Antara keputusan bersama yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak adalah bagi mengadakan satu mesyuarat kumpulan kerja di peringkat pegawai-pegawai kanan di antara kedua negara dalam tempoh masa dua minggu di Malaysia. Mesyuarat ulung kumpulan kerja ini akan dipengerusikan oleh saya dan memberikan fokus kepada aktiviti-aktiviti sindiket yang terlibat dalam kes-kes pemerdagangan manusia ke Australia yang menggunakan Malaysia sebagai negara transit. Di samping itu, mesyuarat kumpulan kerja yang direncanakan ini, akan turut menumpukan kepada program-program kerja untuk dilaksanakan. Agensi-agensi yang akan terlibat pada mesyuarat ini terdiri daripada polis, imigresen, Kementerian Luar Negeri, Jabatan Peguam Negara serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
Saya juga ingin menjelaskan selaian membincangkan mengenai aspek pemerdagangan manusia, perkara-perkara seperti anti keganasan, penguatkuasaan undang-undang, hal ehwal imigresen termasuk keselamatan dokumen perjalanan serta mekanisme dalam mempertingkatkan tahap kerjasama di antara agensi-agensi keselamatan kedua Negara telah turut dibincangkan.
Saya juga turut dijadualkan untuk mengadakan lawatan ke Pusat Kawalan Perlindungan Sempadan yang berpusat di Canberra serta melakukan lawatan ke Pusat CCTV yang memantau keselamatan di persekitaran bandar Melbourne.
=tamat=
|