Menteri Dalam Negeri Menjayakan Usaha Mencegah Jenayah Sebagai Salah Satu Bidang Keberhasilan Utama (KRA) Nasional
Editor iKDN | 30 Julai 09 11:30am
Kenyataan Akhbar
YB. Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein
Menteri Dalam Negeri Menjayakan Usaha Mencegah Jenayah Sebagai Salah Satu Bidang Keberhasilan Utama (KRA) Nasional
(Meningkatkan Kebajikan, Perumahan dan Pendidikan
Untuk Warga dan Anak-anak Polis)
Putrajaya, 29 Julai 2009
Selari dengan hasrat YAB. Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak yang menggariskan usaha mencegah jenayah sebagai salah satu Bidang Keberhasilan Utama (KRA) nasional, pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melaksanakan beberapa pendekatan segera bagi menambah baik kebajikan dan perkhidmatan anggota Polis Diraja Malaysia secara menyeluruh.
Ini kerana anggota-anggota polis merupakan barisan paling hadapan yang akan menentukan kejayaan dan keberkesanan usaha kita dalam mencegah peningkatan indeks jenayah di seluruh negara. Justeru, kebajikan dan perkhidmatan mereka perlu dibela dan ditambah baik demi memastikan mereka dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab dalam keadaan selamat dan selesa.
Sebagai permulaan, pihak KDN akan menaik taraf balai-balai polis di seluruh negara khususnya di kawasan-kawasan panas atau hot spots yang kerap berlaku kejadian jenayah jalanan. Ini bermakna, balai-balai polis di hot spots yang telah dikenal pasti khususnya di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor akan dinaik taraf dengan kadar segera.
Pihak KDN juga sedang menilai mekanisme terbaik bagi menyalurkan peruntukan-peruntukan kecil secara terus kepada balai-balai polis di seluruh negara dalam kerja-kerja baik pulih. Usaha ini bagi memastikan balai-balai polis di seluruh negara sentiasa dapat beroperasi dalam keadaan selamat dan selesa sekali gus mengurangkan proses dan prosedur bagi permohonan projek-projek baik pulih.
Selain itu pihak KDN juga akan melengkapkan anggota-anggota PDRM dengan peralatan asas seperti baju kalis peluru (bullet proof vest) dan peralatan pertahanan diri lain bagi membantu memudahkan tugasan mereka serta memastikan mereka dapat bertugas dalam keadaan selamat terutama ketika berhadapan dengan penjenayah.
Pendekatan ini dilakukan bukan sahaja untuk meningkatkan kebajikan dan kehidupan para anggota, pegawai dan ahli-ahli keluarga PDRM tetapi juga bagi menjayakan usaha kerajaan untuk mewujudkan pasukan polis yang lebih berintegriti dan mempunyai nilai disiplin yang tinggi dalam kehidupan, kerjaya dan tugas seharian mereka.
Saya ingin menjelaskan bahawa pendekatan ini bukan sahaja menyentuh soal meningkatkan kemudahan dan keperluan tugas para anggota dan pegawai di balai-balai tetapi ia akan menjangkau lebih jauh termasuk kepada soal perumahan, meningkatkan tahap pelajaran serta mengembangkan peranan Koperasi Polis Diraja Malaysia (KPD).
Perkara asas yang melibatkan usaha menaiktaraf balai-balai polis adalah satu perkara yang amat penting kerana ia adalah tempat untuk membina kesungguhan kerja dan menyemai sikap amanah dan disiplin para anggota dan pegawai. Begitu juga dengan soal kehidupan harian mereka yang banyak berkait dengan pembinaan keluarga. Kemudahan perumahan dan pelajaran perlu ditingkatkan demi menjamin segala matlamat yang diimpikan ini dapat dicapai.
Selaras dengan langkah ini juga, semua Ketua Polis Negeri dan Ketua-ketua Polis Daerah akan diminta untuk menghantar laporan terus ke KDN bagi memastikan setiap yang dirancangkan ini dapat dilaksanakan secara lancar dan tersusun. Semua langkah pembaharuan ini akan digerakkan dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Kementerian Pelajaran iaitu yang berkaitan dengan peruntukan serta pendidikan.
Salah satu aspek yang akan turut diberi penekanan secara serius ialah mengenai soal pelajaran anak-anak anggota dan pegawai. Perkara ini perlu diberi perhatian yang sewajarnya untuk memastikan kebajikan dan masa depan anak-anak mereka terbela.
Saya juga akan mengadakan pertemuan dengan pihak KPD untuk mendapat taklimat menyeluruh mengenai perkara-perkara yang dapat dijayakan bersama mereka.
Saya berharap segala usaha-usaha ini kelak akan memberi wajah baru kepada perkhidmatan polis agar mereka akan wujud sebagai pasukan yang lebih berintegriti, berwibawa dan mulia di mata masyarakat. Saya juga ingin menegaskan bahawa setiap anggota dan pegawai dalam PDRM perlu sedar dan menanam rasa cinta kepada nama PDRM kerana hanya dengan cara itu kita dapat membina keyakinan orang ramai dan ini dapat memastikan segala matlamat yang kita idamkan tercapai.
=tamat= |